Persembahannya di konsert pengenalan dengan mendendangkan lagu Permata Cinta (lagu asal Aiman Tino) pantas ‘memancing’ perhatian ramai, lalu Usop atau nama sebenarnya Muhammad Siaful Naim Muhd Noor, 20, menjadi tular di media sosial.
Sejak itulah, pemuda yang berasal dari Kulim, Kedah ini kian dikenali. Dia bukan saja memiliki suara serak-serak basah, tetapi pesona dan gelagat selambanya berjaya memikat penonton setia program realiti itu.
Bagaimanapun, ada segelintir yang memandang pesimis kehadiran penyanyi itu. Ada yang menyifatkan gelagatnya sekadar drama untuk menaikkan rating dan tidak kurang yang menilai sisi komersial penyanyi muda itu.
Usop ketika ditemu bual menyifatkan perkara itu sesuatu yang normal dan dia kini cuba membiasakan diri mengharungi ranjau sebagai anak seni, terutamanya apabila tamat Mentor Milenia 2017 kelak.
“Saya hanya mahu cari rezeki halal, berniat nak ubah nasib keluarga. Kalau mereka nak mengata saya, maknanya mereka menghina ciptaan Allah SWT juga.
“Apa pun, saya tidak mahu pandang serius sangat sebab saya hanya mahu fokus pada pertandingan ini dan berikan yang terbaik setiap minggu, Insya-ALLAH.
“Cara saya mudah, saya jarang nak tengok komen tak membina kerana boleh beri kesan pada persembahan,” katanya ketika ditemu bual.
Percaya rezeki
Bintang muda ini juga memberitahu, Mentor Milenia adalah platform untuk dia belajar.
“Bila terpilih, saya sudah semat dalam diri. Ini adalah medan untuk saya belajar, cari ilmu sebanyak mungkin dalam nyanyian. Saya sedar, saya ‘zero’ dalam bidang ini.
“Memanglah semua finalis target untuk jadi juara. Tapi, tak menang pun tak mengapa. Asal saya dapat belajar dan dapat berikan yang terbaik untuk penyokong. Itu sudah memadai.
“Saya percaya pada rezeki. Saya tidak ada rupa. Gigi pun besar-besar. Apa yang boleh saya berikan adalah bakat yang diberikan Allah SWT,” katanya yang sempat berseloroh tapi masih merendah diri.
Ditanya mengenai sisi kehidupannya kini, Usop mengakui sejak tular, kehidupannya berubah 360 darjah. Agak terkejut dengan apa yang berlaku, namun secara perlahan-lahan Usop sebolehnya membiasakan diri.
“Sepatutnya bila jadi protégé, kita akan bermula dari bawah. Tapi saya kira ‘meletup’ terus. Takut ada, seronok pun ada.
“Sebab bagi saya, viral ini ada dua impak. Sama ada boleh terus menaikkan atau akan menjatuhkan kita. Itu yang saya bimbang,” jelasnya.
Kata Usop lagi, bilangan pengikutnya di laman Instagramnya juga naik mendadak.
“Dulu saya hanya ada dalam 100 lebih pengikut saja. Tapi kini sudah mencecah ratusan ribu.
“Terima kasih buat semua yang menyokong perjalanan dan harapnya sokongan kalian akan berterusan sampai bila-bila,” akhiri Usop yang turut berazam mempunyai single genre rock balada selepas Mentor Milenia berakhir.
No comments:
Post a Comment